PETALING JAYA – Suasana sebak mengiringi seorang pemuda yang juga penderma organ, Allahyarham Muhammad Zahran Muhammad Zuraidi, 21, sewaktu diberi penghormatan terakhir oleh kakitangan hospital, rakan dan ahli keluarganya sebelum pembedahan dilakukan semalam.
Menerusi video dimuat naik ibu saudara pemuda tersebut pada TikTok Rosnita Ab. Halim, pihak hospital beramai-ramai menolak katil menempatkan Allahyarham dan kemudian kakitangan wad, ahli keluarga dan rakan-rakannya berdiri di tepi memberikan penghormatan kepadanya.
Kemudian pihak hospital memberi kebenaran kepada ahli keluarga, waris dan rakan-rakannya untuk memberikan ciuman dan pelukan terakhir sebelum pemuda itu dibawa untuk pembedahan organ.
“Walk of honor (perarakan penghormatan) untuk anak buahku, seorang penderma organ. Hajat abang tercapai untuk menjadi penderma organ.
“Ramai orang iring abang ke bilik pembedahan untuk pendermaan organ. Walaupun setelah abang dah tak ada, tapi tetap buat kami berbangga dengan abang,” menurut kapsyen video tersebut.
Pada hantaran lain, Rosnita turut memuat naik gambar bersama Muhammad Zahran serta sedikit coretan terakhir pemergian anak saudara disayanginya.
“Kami semua sayangkan abang, namun kami tak mampu melawan sayangnya Allah kepada abang. Kami reda bang walaupun agak perit mengenangkan abang masih muda dan banyak hajat abang belum tertunai.
“Namun, mak bangga di akhir hayat, abang masih lagi ingin membuat kebaikan. Semoga segala kebaikan abang menjadi bekalan untuk abang yang sentiasa mengalir seperti air zamzam,” katanya.
Menerusi ruangan komen, ramai yang sebak dengan pemergian pemuda tersebut dan mereka turut bersama-sama mendoakan Allahyarham Muhammad Zahran.
“Dah meninggal pun, masih buat kebaikan. Semoga Allah balas syurga Firdaus buatmu anak,” komen Kak Wid.
“Setiap mereka yang pernah menderma organ pada orang dianggap hero dan heroin,” komen pengguna TikTok Azian Karim.
“Muhammad Zahran anak yang baik, suka menolong orang,” kata Tasya Jalaludin. – KOSMO! ONLINE
@rosnitaabhalim ramai org iring abg ke bilik pembedahan utk pendermaan organ.. walaupun setelah abg dh tkde tp tetap buat kmi berbangga dgn abg.. #perdermaorgan ♬ original sound – DNP














