PETALING JAYA – “Kalau satu hari nanti kamu rasa dunia ini berat, pulanglah.”
Demikian perkongsian syahdu selebriti popular Abby Abadi yang ditujukan khas kepada enam permata hatinya sebagai tanda kasih ibu sepanjang hayat.
Ingatan tersebut antara titipan pesanan anggota Elite terbabit bagi menunjukkan bahawa anak-anaknya tidak akan keseorangan dalam menghadapi gelombang kehidupan.
“Kami mungkin tak mampu menyelesaikan segalanya, tapi cukup untuk buat kamu rasa rumah dan tempat untuk berlindung masih ada,” tulisnya di Instagram.
Kapsyen tersebut disertakan bersama video dengan keluarga besarnya sempena Syawal termasuk dengan bekas suami juga pelakon, Norman Hakim serta isterinya, Memey Suhaiza.
Sementara itu, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, berharap mereka membesar dengan baik selain berharap kesemua zuriatnya tahu mempertimbangkan sebarang keputusan.
“Jangan takut untuk menjadi diri sendiri. Jangan lelah untuk jadi lebih baik dari hari ini dan jangan pernah lupa kamu adalah sebab kami kuat hingga hari ini.
“Kami tak minta kamu jadi sempurna, cukuplah kamu jadi anak yang mengenang budi, tahu nilai kasih sayang, tahu bezakan baik dan buruk — dan tak lupa siapa dirimu walau di mana kamu berada.
“Ya anakku. Selagi kami masih bernafas, kamu tetap doa terindah dalam hidup kami. Fi hifzillah. Sayang sampai syurga,” ujarnya.
Akuinya lagi, sebagai ibu bapa mereka sentiasa mendoakan anak-anak di setiap denyutan nadi malah kasih sayang juga tidak pernah putus buat insan kesayangan.
“Anak-Anak, kalau satu hari nanti Mama, Abah, Papa, Mummy tak lagi mampu pegang tangan-tangan mu sekuat hari ini, ingatlah setiap langkahmu pernah kami doakan tanpa henti.
“Sejak pertama kali mendengar tangisanmu, dunia kami berubah. Penat hilang, lelah jadi manis, air mata jadi saksi betapa besarnya cinta dan kasih sayang ini pada kamu semua,” katanya..
Abby dan pelakon, Norman Hakim pernah berkahwin pada 2002 dan mempunyai tiga cahaya mata sebelum akhirnya bercerai pada 2008.
Penyanyi dan pelakon terbabit kemudian bertemu pula jodoh dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 2015 dan mereka mengambil tiga anak angkat. – KOSMO! ONLINE














