KOTA TINGGI – Kebakaran hutan belukar seluas kira-kira 150 hektar di kiri dan kanan Highway Bypass Punggai menghala ke Sebana Cove dilaporkan semakin marak sejak Sabtu lalu.
Kejadian yang bermula pada pukul 5.15 petang Sabtu lalu kini memasuki hari keempat dengan operasi pemadaman masih giat dijalankan oleh pihak bomba dan agensi berkaitan.
Komander Operasi, PBK I Alvinni Jackson berkata, setakat ini hanya 63 hektar atau 42 peratus daripada keseluruhan kawasan berjaya dipadamkan dan keadaan cuaca panas serta kering selain tiupan angin kuat menyebabkan api terus merebak.
“Api masih aktif membakar pokok serta belukar kering dan menghasilkan asap tebal sehingga menjejaskan jarak penglihatan di laluan utama highway berkenaan. Pihak polis dari Balai Polis Bayu Damai terpaksa menutup laluan bagi menyekat kenderaan dari melalui jalan tersebut, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya dalam operasi tersebut, pasukan bomba menggunakan kaedah ‘direct attack’ dengan bantuan aliran hos sehingga 1,200 kaki serta pam air berkuasa tinggi.
“Manakala sumber air pula diperoleh daripada takungan berhampiran bagi memastikan operasi pemadaman dapat diteruskan tanpa gangguan. Setakat ini, usaha memadam kebakaran masih diteruskan dan pihak bomba,” katanya. – KOSMO! ONLINE














