SUNGAI PETANI – Mayat seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an dan anak lelaki berusia lingkungan 40-an ditemukan di dalam sebuah rumah di Bedong, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 6.05 petang.
Kata beliau, mayat dua beranak tersebut dijumpai di ruang tamu dan dapur rumah.
“Kita terpaksa memecah masuk rumah berkenaan kerana pintu berkunci dari dalam. Hasil pemeriksaan awal pada kedua-dua mayat itu mendapati tiada kecederaan akibat senjata tajam,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.
“Dua mangsa ini dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 48 jam, ” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














