PETALING JAYA – Malaysia akan terus menyokong dan memperkukuh usaha diplomasi Indonesia dalam meredakan konflik Iran–Israel, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, usaha tersebut diharap dapat meredakan ketegangan selain melindungi nyawa orang awam dan ruang rundingan yang bermakna dapat dibuka ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.
Katanya, perkara itu disampaikan semasa bercakap melalui panggilan telefon bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto semalam.
“Kami berdua bersama menggesa kepada keamanan dan saya memaklum Presiden Prabowo bahawa Malaysia akan terus menyokong dan memperkukuh usaha diplomasi dalam meredakan konflik Iran–Israel,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau dan Prabowo turut bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan beliau untuk berkunjung ke Jakarta sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat. – KOSMO! ONLINE














