PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat di Perak adalah Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














