fbpx
SEORANG penduduk mengambil inisiatif sendiri memadam sisa kebakaran di kawasan belukar di kaki Bukit Besi Hangit, Kangar hari ini.

‘Habis pakaian berbau asap, sisa arang penuh rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Sebahagian penduduk di Taman Bukit Kayangan di sini mengambil inisiatif sendiri memadam sisa kebakaran di kawasan belukar di kaki Bukit Besi Hangit yang terbakar semalam.

Menurut Anuar Abdul, 60, anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di kawasan tersebut sejak semalam.

“Sepanjang musim panas ini, anggota bomba sibuk dengan operasi pemadaman yang berlaku di banyak lokasi di seluruh Perlis. Kami dimaklumkan semalam sahaja terdapat sekurang-kurangnya 16 panggilan berkaitan kebakaran.

“Selepas bomba selesai memadam kebakaran di kawasan ini, saya bersama anak dan menantu serta 10 penduduk memadam sisa kebakaran yang masih berasap selain api kecil di beberapa lokasi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Jelasnya, penduduk memadam sisa kebakaran itu hingga tengah malam dan memantau kawasan tersebut dari semasa ke semasa.

“Pagi tadi pun masih ada asap dan api kecil kerana kawasan ini merupakan tanah gambut, jadi memang sukar untuk padam sepenuhnya. Apapun kami akan terus pantau kerana bimbang api kembali marak berikutan cuaca panas, kering dan berangin,” ujarnya.

Menurutnya, asap yang menyelubungi perumahan tersebut semalam menyebabkan pakaian berbau asap selain rumah dipenuhi sisa arang.

“Cuaca sekarang panas, kering dan berangin, jadi mudah mencetuskan kebakaran. Semua orang perlu ambil berat kerana api cepat merebak dan kawasan ini terletak berhampiran perumahan,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan sebahagian kawasan di Bukit Chabang, Bukit Penangi dan Bukit Besi Hangit terbakar sejak minggu lalu ketika cuaca panas melanda seluruh Perlis.

Dalam kejadian di Bukit Besi Hangit semalam, lebih 50 penduduk cemas apabila kawasan belukar di kaki bukit tersebut terbakar dengan asap memenuhi perumahan Taman Bukit Kayangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI