KUALA LUMPUR – Kegiatan dua lelaki tempatan yang aktif melakukan samun berkumpulan akhirnya tersungkur selepas mereka diberkas di sekitar Dang Wangi, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek berusia 29 dan 41 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 pagi hingga 5.30 pagi hasil maklumat risikan.
Dalam operasi itu, polis merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah termasuk pakaian, tiga buah motosikal, empat buah topi keledar dan nombor pendaftaran motosikal.
“Siasatan mendapati suspek bergerak secara berkumpulan dengan menaiki motosikal sebelum menyamun mangsa. Mereka melarikan gelang emas dan telefon bimbit mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sazalee berkata, pihaknya masih memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai masih bebas. Penahanan dua suspek itu berjaya membantu polis menyelesaikan tiga kes samun yang dilaporkan sebelum ini.- KOSMO! ONLINE














