PETALING JAYA – Umat Islam di seluruh negara diseru melaksanakan Solat Sunat Istiqa’ bagi memohon rahmat hujan susulan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, usaha tersebut wajar dilaksanakan secara berterusan sebagai tanda keinsafan serta pergantungan umat Islam kepada Allah SWT.
Menurut beliau, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan doa agar segala kesulitan yang dihadapi akibat keadaan cuaca panas dapat diringankan.
“Semoga segala doa dan munajat yang dipanjatkan diterima serta dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala, serta dikurniakan hujan yang membawa keberkatan kepada seluruh alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan fenomena cuaca panas dan kering dilaporkan berlarutan sehingga Sabtu membabitkan beberapa kawasan di sebelah utara Semenanjung. – KOSMO! ONLINE














