fbpx
KENDERAAN dipandu perlahan berikutan jarak penglihatan terhad susulan asap dari lokasi kebakaran di tepi Lebuh Raya Jitra - Bukit Kayu Hitam di Jitra, hari ini.

Cuaca panas: Kiri kanan lebuh raya terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Sekurang-kurangnya empat kebakaran dikesan berlaku di lokasi terletak di kiri dan kanan Lebuh Raya Utara-Selatan serta Lebuh Raya Jitra-Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Salah satu lokasi yang terjejas melibatkan kawasan dipercayai belukar dan pertanian sehingga mengakibatkan lebuh raya di kedua-dua hala dekat Jalan Kampung Jalil, di sini diselubungi asap.

Tinjauan Kosmo! mendapati asap tebal sudah boleh kelihatan dari jauh dan kenderaan bergerak perlahan berikutan jarak penglihatan terhad.

Terdapat beberapa kenderaan berhenti di bahu jalan dan seorang pemandu dilihat membantu mengawal aliran trafik di tepi lebuh raya berkenaan.

Penduduk Jitra, Shuhaila Ahmad, 33, berkata, dia dapat melihat kepulan asap besar dari jauh.

“Saya nampak kawasan belukar atau pertanian di tepi lebuh raya terbakar, api kelihatan marak dengan asap memenuhi lebuh raya.

“Keadaan ini berbahaya kerana jarak penglihatan menjadi terhad. Selepas melalui kawasan tersebut, saya dapati terdapat beberapa lagi kawasan berasap termasuk di tepi lebuh raya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya memandang serius trend peningkatan aktiviti pembakaran terbuka yang dikesan di seluruh negeri ini.

“Berdasarkan rekod rasmi jabatan, sebanyak 142 aduan berkaitan pembakaran terbuka diterima daripada orang awam bermula 1 Januari hingga Ahad lalu.

“Walau bagaimanapun, bilangan sebenar pembakaran terbuka yang berlaku mungkin jauh lebih tinggi kerana bukan semua kes dilaporkan kepada JAS,” katanya.

Menurutnya, situasi itu amat membimbangkan memandangkan keadaan cuaca kering ketika ini, selain aktiviti sedemikian boleh menyebabkan kebakaran mudah merebak dan sukar dikawal, lebih-lebih lagi apabila sumber air kian terhad.

“Pembakaran terbuka tidak terkawal boleh menyebabkan risiko pencemaran udara yang serius serta mengancam keselamatan masyarakat,” ujarnya.

Katanya, bagi menangani isu itu secara agresif, pihaknya mempertingkatkan pemantauan di lapangan dengan melaksanakan sebanyak 109 rondaan penguatkuasaan bagi tempoh sama.

“Rondaan berterusan akan diteruskan sepanjang musim perayaan ini. JAS Kedah juga bekerjasama rapat dengan pasukan bomba bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi yang sering mengalami insiden pembakaran terbuka.

“Langkah ini bertujuan mengesan punca pembakaran pada peringkat awal, terutama di kawasan tapak pelupusan sisa, kawasan pertanian dan perumahan,” jelasnya.

Beliau pada masa sama menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau syarikat yang dikesan melakukan kesalahan tersebut.

“JAS Kedah kini dalam proses tindakan perundangan terhadap beberapa kes pembakaran terbuka yang dikesan sebelum ini termasuk di tapak pelupusan sampah haram di Baling,” katanya.

Tambahnya, pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kompaun juga boleh dikenakan sehingga separuh daripada nilai denda maksimum,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN