fbpx
Gambar hiasan.

Anak mati dihempap pokok DBKL, ibu bapa dapat pampasan lebih RM800,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang kematian anak lelaki mereka akibat dihempap pokok tumbang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada 2023 menerima ganti sebanyak RM824,180.

Hakim Mahkamah Sesyen, Effandi Nazila Abdullah memberikan ganti rugi itu kepada Gooi Ling Sim, 61, dan Phun Kok Hoi, 63, yang bertindak selaku tanggungan kepada mendiang Phun Mun Lap, 30, selepas membenarkan saman pasangan tersebut.

Ganti rugi tersebut merangkumi kos pengebumian Mun Lap sebanyak RM26,180, ganti rugi kehilangan tanggungan (RM768,000), dan ganti rugi kedukacitaan (RM30,000).

Menurut penghakiman bertarikh 9 Mac lalu, Effandi menyatakan pokok yang tumbang dari pembahagi jalan berhampiran pintu gerbang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdekatan Pasar Harian Selayang itu berada dalam jagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Hakim itu menyatakan insiden tersebut tidak akan berlaku tanpa unsur kecuaian dalam pemantauan serta penyelenggaraan pihak terbabit.

Ling Sim dan Kok Hoi memfailkan saman itu selepas anak mereka maut akibat dihempap pokok tumbang sewaktu menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Kuching di sini pada 22 Mac 2023.

Mangsa yang bekerja sebagai pemandu kren mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Seramai empat saksi plaintif dan defendan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan selama dua hari pada September 2025.

DBKL kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN