BIRMINGHAM – Pengurus Aston Villa, Unai Emery optimis Ollie Watkins mampu berada pada prestasi terbaik selepas menjaringkan gol menewaskan West Ham 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.
Sebagai rekod, Watkins sebelum ini menerima tamparan hebat apabila diketepikan oleh pengendali England, Thomas Tuchel daripada senarai skuad Three Lions bagi aksi antarabangsa sebelum ke Piala Dunia 2026 nanti.
Namun, penyerang berusia 29 tahun itu memberikan respons terbaik apabila meledak gol pada babak kedua selepas jaringan pembukaan dilakukan oleh kapten pasukan, John McGinn.
Menurut Emery, semangat juang Watkins untuk kembali berada pada tahap terbaik wajar dipuji.
“Dia seorang pejuang. Tiga tahun lalu dia tidak berada dalam skuad kebangsaan, tetapi dia membuktikan dirinya layak berada di sana.
“Sekarang dia disisihkan kembali tetapi dia perlu bangkit seperti yang ditunjukkannya pada aksi kali ini. Apabila dia menjalankan tugasnya dengan baik, angka jaringannya juga akan bertambah,” kata Emery.
Watkins sendiri mengakui tidak terkejut apabila namanya tercicir daripada senarai Tuchel selepas mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini.
“Saya tahu kemampuan saya dan setiap kali menyarung jersi England, saya rasa saya sentiasa memberikan aksi yang baik,” katanya. – AGENSI














