PETALING JAYA – Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada dengan taktik baharu scammer warga asing yang didakwa menggunakan helah psikologi hingga mangsa seolah-olah dipukau.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, fakhrishahtibi, dia mendakwa menjadi mangsa kejadian tersebut ketika berhenti di sebuah stesen minyak berhampiran restoran makanan segera.
Menurutnya, dia didatangi seorang lelaki warga asing bersama keluarga yang mendakwa tidak mempunyai wang tunai dan meminta bantuan membeli makanan untuk anak-anak.
“Saya rasa macam kena pukau. Bukan scam biasa. Masa tu saya jadi blur dan ikut sahaja tanpa bantah,” katanya.
Fakhrishahtibi berkata, lelaki terbabit kemudian membawa mereka ke restoran makanan segera dan membuat pesanan makanan mencecah kira-kira RM150.
“Apa yang pelik, saya memang boikot restoran itu, tapi masa kejadian saya langsung tak bantah dan terus bayar,” ujarnya.
Tambahnya, hanya selepas kira-kira 20 minit meninggalkan lokasi, dia kembali sedar dan mula mempersoalkan tindakannya.
“Semuanya macam ‘reset’ balik. Baru saya sedar kenapa mudah sangat terpedaya,” katanya.
Sehubungan itu, dia menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan individu tidak dikenali, terutama yang menggunakan alasan simpati.
Katanya, taktik tersebut dipercayai semakin tular dan telah dikongsi ramai pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE













