fbpx
Gambar hiasan

‘Saya saksi kesusahan mereka, saya halalkan ibu bapa guna duit raya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Anak-anak yang pernah membesar dalam keluarga serba kekurangan mengambil pendekatan menghalalkan duit raya mereka yang digunakan oleh ibu bapa demi kelangsungan hidup.

Terdahulu, pengacara dan pendakwah bebas, Amin Idris berkongsi peringatan berkenaan hukum haram bagi ibu bapa menggunakan duit raya anak berikutan ia diberikan khusus untuk anak-anak.

“Maka kalau mahu guna sekali pun, hanya untuk keperluan khusus anak-anak. Bukan untuk keperluan umum seperti isi minyak kereta, bayar sewa rumah, beli barang dapur.

“Jika terdesak sangat terpaksa guna, minta izin anak untuk pinjam dan wajib diganti semula,” demikian kongsi beliau di Threads.

Hantaran tersebut mendapat komen balas orang ramai terutama daripada @koleksinnie yang menyifatkan setiap sen digunakan oleh orang tuanya dahulu sebagai bentuk kasih sayang yang tiada galang gantinya.

“Mereka berdua susah ketika itu, saya menyaksikan sendiri kesusahan mereka. Maka Ya Allah, aku halalkan setiap sen duit raya yang aku dapat masa kecil-kecil dahulu untuk kesinambungan hidup kami sekeluarga,” katanya.

Luahan tersebut menyentuh hati orang ramai yang rata-ratanya mempunyai situasi yang sama membesar dalam keluarga yang serba kekurangan.

Tangkap layar gambar beberapa komen pengguna yang dikongsikan di aplikasi Threads.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna mula berkongsi pengalaman peribadi yang menyifatkan tindakan menghalalkan duit tersebut sebagai satu bentuk berbakti kepada kedua ibu bapanya.

“Ya, saya pun halalkan mak ayah saya gunakan duit kami untuk besarkan kami adik-beradik. Lebih baik macam ini, syukur atas jasa mak ayah yang besarkan saya, alhamdulillah,” kata pengguna Velvettiare.

“Sama, sebab itu bila keluar ‘trend’ mak ayah simpankan duit sampai besar pun tidak dapat balik rasa macam tak setuju. Aku halalkan juga duit raya yang mak ayah aku guna, tak kisah pun sebab dapat cukup makan, pakai tak bercatu pun dah bahagia,” kata seorang pengguna lagi.

Pengguna _mrstrader juga berkata, sebelum hembusan terakhir arwah bapanya, dia telah pun menghalalkan segala wang ringgit yang digunakan oleh ayahnya.

“Masa ayah meninggal, ini yang saya bisikkan ‘Ayah berlarilah di taman syurga, semua saya sudah halalkan’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI