PETALING JAYA – Kritikan Generusi Z (Gen Z) yang mempersoalkan pelbagai peraturan pelik ketika sambutan Aidilfitri membuat orang ramai terutamanya Generasi X tidak berpuas hati.
Rata-rata mereka tidak mahu perkara tersebut dinormalisasikan dalam kehidupan kita kerana ia boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.
Keadaan yang dianggap serba tidak kena oleh kelompok Gen Z itu termasuklah kunjungan tetamu dalam jumlah kenderaan yang banyak secara serentak, waktu ziarah seawal jam 10 pagi, sehingga isu meminta air kosong di rumah orang.
Menerusi hantaran seorang pengguna di Threads, sikap tersebut dianggap tidak masuk akal dan menunjukkan kelemahan dalam kemahiran berkomunikasi.
“Segelintir Gen Z ini semua benda tentang raya kalau boleh tak nak dinormalisasikan, ada sahaja yang tidak kena,” katanya.
Dia berkata, tindakan itu seolah-olah mengharamkan segala bentuk soalan tradisi orang tua seperti jodoh atau kerjaya sehingga suasana raya menjadi kaku dan hambar.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa rimas dan menyifatkan segelintir Gen Z sebagai ‘kera sumbang’ kerana lebih gemar menghadap telefon bimbit berbanding melayan tetamu.
Seorang pengguna turut meluahkan rasa kesal dengan sikap tersebut yang dianggap melampau sehingga sanggup mengutuk tetamu dalam media sosial.
“Ada yang tidak halalkan tetamu makan, seram perangai masing-masing. Makin lama makin pupus adat ziarah-menziarahi,” luahnya.
Malah, perdebatan itu tidak hanya terhad kepada satu generasi apabila ada yang mendakwa golongan Millennial juga mula berfikiran serupa.
“Bukan setakat Gen Z sahaja, aku Gen Y pun dah mula mempersoalkan banyak benda,” kata pengguna lain.
Isu tersebut mendapat perhatian ramai dengan ada yang menyifatkan anak muda sekarang terlalu cepat melatah sedangkan rumah yang diziarahi itu adalah kediaman ibu bapa sendiri. – KOSMO! ONLINE














