fbpx
GARCES (kanan) antara tujuh pemain Harimau Malaya yang dijatuhkan hukuman kerana isu pemalsuan dokumen.

Ranking Harimau Malaya menjunam kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPERTI dijangka, ranking Harimau Malaya terus merudum di kedudukan ke-135 dunia selepas rayuan hukuman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tahun lalu ditolak secara rasmi oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bulan lepas.

Susulan keputusan CAS, Harimau Malaya dijatuhkan hukuman kekalahan 0-3 kepada Vietnam dan Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada minggu lalu.

Situasi itu berpunca apabila Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski menurunkan tujuh pemain warisan yang tidak layak selepas terpalit dengan isu pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain itu ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. 

Hukuman terbaharu itu menyaksikan ranking Harimau Malaya jatuh 14 anak tangga dunia selepas berada di kedudukan ke-121 dunia pada Januari lepas.

Perkembangan itu menjadi khabar negatif buat pasukan untuk mengharungi aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di tempat lawan pada Selasa depan.

Sementara itu, Thailand masih muncul negara serantau paling konsisten apabila berada di tangga ke-96 manakala Vietnam di kedudukan 111 dunia dengan Indonesia berada di kedudukan ke-121 untuk melengkapkan tiga pasukan terbaik Asia Tenggara.

Ini bukanlah kali pertama Harimau Malaya dibatalkan kemenangan selepas Jawatankuasa Tatatertib FIFA turut mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak berkelayakan.

Susulan itu, tiga perlawanan antarabangsa yang diharungi ketika bertemu Cape Verde, Singapura dan Palestin telah diisytiharkan kekalahan 0-3 buat skuad Harimau Malaya termasuk denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN