LONDON – Pemain muda Manchester City, Nico O’Reilly mengakui tidak menjangka dapat muncul wira pasukan di Stadium Wembley selepas meledak dua gol menewaskan Arsenal 2-0 di pentas final Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi tadi.
Menurut O’Reilly, ia adalah hadiah hari jadi terbaik buat dirinya yang genap usia 21 tahun pada 21 Mac lepas sekali gus membantu pasukan menamatkan kemarau trofi.
“Ini adalah perasaan yang luar biasa. Bukan mudah untuk menang aksi final dan menewaskan pasukan Arsenal yang kita tahu betapa kuatnya mereka pada musim ini.
“Saya harap kami terus membina momentum daripada kemenangan ini. Secara peribadi, saya masih sedikit tidak percaya apabila melihat penyokong bersorak begitu kuat setiap kali saya menjaringkan gol,” katanya.
Dua jaringan tersebut menyaksikan O’Reilly kini mengumpul lapan gol sekali gus mengukuhkan statusnya selaku salah seorang tunjang utama pada saingan musim ini.
“Seluruh keluarga saya datang hari ini. Mereka semua ada di stadium dan saya tahu mereka sangat gembira. Apa yang pasti, pengalaman beraksi di hadapan lebih 88,000 penonton adalah perasaan yang luar biasa,” katanya. – AGENSI














