fbpx
SALAH seorang mangsa yang cedera pada muka dan keadaan sebuah kereta akibat letupan mercun dalam kejadian di Pendang, baru-baru ini.

Mercun bola dalam plastik punca 7 cedera di muka, mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENDANG – Letupan mercun yang tersasar dan masuk ke dalam plastik berisi mercun bola dipercayai menjadi punca tujuh individu cedera dalam kejadian di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 10 pagi tadi.

Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, pihaknya menahan seorang lelaki di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.

“Soal siasat lanjut mendapati suspek mengaku menyambut raya dengan bermain mercun bola bersama enam saudara lain pada 20 Mac lalu.

“Ketika kejadian, letupan mercun masuk ke dalam plastik berisi mercun bola menyebabkan ia meletup dan mencederakan individu lain yang berada berdekatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua mangsa termasuk suspek mengalami kecederaan pada muka dan badan serta dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pendang.

“Seorang mangsa terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut akibat kecederaan serius pada mata,” ujarnya.

Tambahnya, suspek direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Pihak polis menyeru orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sepanjang musim perayaan serta memantau aktiviti anak-anak agar kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kira-kira tujuh individu termasuk kanak-kanak cedera dipercayai akibat letupan mercun bola dalam kejadian tersebut.

Kejadian itu tular di media sosial sejak semalam memaparkan beberapa mangsa mengalami kecederaan pada muka dan badan selain menyebabkan kerosakan pada sebuah kereta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN