PETALING JAYA – Meski sudah dua tahun pemergian ibu tercinta, pelakon Scha Alyahya mengakui sambutan Aidilfitri kali ini masih terasa sayu dan berbeza tanpa insan paling disayangi di sisi.
Perit ditelan, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, berkata, kehilangan tersebut masih sukar diterima sepenuhnya walaupun masa terus berlalu.
“Suasana raya memang berbeza kerana ini tahun kedua tanpa ibu.
“Perbezaannya sangat terasa dan saya masih dalam proses menyesuaikan diri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut pelakon filem Telaga Suriram itu, saban hari merindu terutama apabila melakukan perkara rutin pernah dikongsi bersama arwah bonda.
“Kadang-kadang bila teringat, saya cuba tahan dulu perasaan itu. Contohnya bila masak laksa dan tiba-tiba terlupa bahan, dulu saya boleh telefon ibu untuk tanya. Sekarang sudah tidak boleh.
“Saya akan pujuk diri, ‘Tak apa, nanti baru lepaskan perasaan ini.’ Biasanya saya ambil masa sendiri supaya tidak buat orang sekeliling rasa kekok,” ujarnya
Tambah isteri kepada pelakon Awal Ashaari itu, perkongsian rakan senasib membuatkan dia memahami bahawa rasa kehilangan tidak akan pernah hilang sepenuhnya.
“Kawan-kawan yang sudah lima atau enam tahun kehilangan ibu pun masih rasa kekosongan itu.
“Perasaan tersebut tidak boleh diganti dengan apa-apa dan perlu diterima sepanjang hidup,” luahnya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi momen menyentuh hati apabila anak-anak mula memahami konsep kehilangan dan sering bertanya tentang arwah nenek mereka.
Pun begitu, dia memilih untuk tidak terlalu melayan kesedihan di hadapan anak-anak demi menghargai masa kini bersama keluarga.
“Kadang-kadang anak saya akan tanya, ‘Mummy rindu ibu?’ atau ‘Rindu Mak Tok?’
“Kalau nampak rama-rama, mereka akan tanya, ‘Adakah itu Mak Tok?’ Ada juga bertanya sama ada saya pergi kubur atau tidak. Soalan polos itu buat hati terusik, tetapi saya cuba kawal emosi depan mereka.
“Saya cuba tidak terlalu menunjukkan kesedihan. Bukan mahu menafikan perasaan, tetapi saya mahu hargai masa sekarang supaya kami boleh terus melangkah ke depan bersama,” jelasnya.
Untuk rekod, ibu Scha, Junainah Hashim, meninggal dunia pada 7 Disember 2024 akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE.














