PETALING JAYA – Di sebalik kemeriahan juadah Aidilfitri seperti rendang, lemang dan ketupat, orang ramai diingatkan supaya tidak mengetepikan pengambilan buah-buahan tempatan yang kaya dengan khasiat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, buah-buahan tempatan bukan sahaja segar dan enak, malah memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan kekal terjaga sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, pengambilan buah seperti pisang mampu membekalkan tenaga segera, manakala betik membantu melancarkan sistem pencernaan terutama selepas menikmati hidangan berat.
“Buah-buahan lain seperti rambutan, manggis dan belimbing pula kaya dengan nutrien yang membantu meningkatkan sistem imun badan.
“Selain itu, mangga juga baik untuk kesihatan mata dan kulit, menjadikannya antara pilihan terbaik sebagai pencuci mulut semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggalakkan orang ramai supaya memasukkan buah-buahan dalam hidangan harian ketika berkunjung dari rumah ke rumah sepanjang Syawal.
Tambahnya, langkah itu bukan sahaja membantu menjaga kesihatan, malah menyokong golongan petani tempatan.
“Raya tetap meriah, badan pun kekal cergas jika kita bijak memilih makanan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat untuk menjadikan buah-buahan tempatan sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat sepanjang musim perayaan.- KOSMO! ONLINE.














