TEL AVIV – Lebih 180 orang cedera dalam serangan peluru berpandu balistik Iran di bandar Dimona dan Arad, berdekatan lokasi senjata nuklear di selatan Israel kelmarin, lapor akhbar The Sun.
Rakaman serangan menunjukkan detik peluru berpandu meluncur dari langit gelap pada kelajuan tinggi sebelum menghasilkan letupan kuat di lokasi serangan dengan bola api besar meletus dan kamera bergegar akibat impak tersebut.
Sistem penangkis peluru berpandu Israel dikenali sebagai ‘Kubah Besi’ gagal menembak jatuh peluru berpandu balistik itu, walaupun pihak tentera berkata, ‘percubaan untuk memintas telah dilakukan’.
Pagi semalam, sekurang-kurangnya satu lagi gelombang serangan peluru berpandu Iran menyerang Israel.
“Di Dimona dan Arad, misil pemintas telah dilancarkan tetapi gagal mengenai sasaran, mengakibatkan dua hentaman langsung oleh peluru berpandu balistik membawa peledak seberat ratusan kilogram,” kata seorang pegawai bomba Israel.
Iran berkata, serangan itu bagi membalas serangan Israel ke atas tapak nuklear di Natanz yang merupakan salah satu infrastruktur pengayaan uranium paling penting di Iran dan terletak kira-kira 217 kilometer ke tenggara Tehran. – AGENSI














