fbpx
Seramai 14 PATI warga Myanmar dan dua tekong yang ditahan di dalam dua buah kenderaan di Kampung Chat, Tumpat pada Rabu lalu. Foto PGA

Dua tekong gagal bawa 14 PATI ke Johor kempunan upah RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Dua tekong darat termasuk seorang wanita masing-masing kempunan untuk mendapat upah RM500 selepas kenderaan dipandu mereka yang membawa seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan di Kampung Chat di sini pada minggu lalu.

Tangkapan dijalankan kira-kira pukul 5.30 pagi pada Rabu lalu semasa Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondaan di sekitar kawasan Pengkalan Kubor di sini.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Rush diparkir di tepi jalan kampung tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan tubuh badan terhadap pemandu lelaki berusia 53 tahun dan wanita 49 tahun itu tidak menemui sebarangan yang menyalahi undang-undang.

“Pemeriksaan lanjut ke atas Perodua Alza dipandu suspek lelaki membawa kepada penemuan serami tujuh PATI warga Myanmar termasuk dua wanita yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Di dalam SUV Toyota Rush dipandu pemandu wanita itu pula menemukan seramai tujuh PATI warga Myanmar termasuk dua wanita,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat awal mendapati, kedua-dua tekong darat itu mengaku mengambil upah sebanyak RM500 bagi setiap kenderaan untuk membawa PATI.

Menurutnya, MPV dan SUV yang digunakan untuk mengangkut kesemua PATI itu dipercayai disewa dari sebuah syarikat di Pandan Indah, Selangor dengan kadar sewaan sebanyak RM500 seminggu bagi setiap kenderaan.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua PATI diambil di kawasan Kampung Pulau Besar dekat Tumpat dan mereka disyaki akan dihantar ke Johor.

“PATI tersebut dipercayai memasuki negara ini secara haram dari Thailand melalui Sungai Golok yang bersambung dengan Sungai Kelantan di Kampung Pulau Besar,” ujarnya

Beliau berkata, MPV Perodua Alza yang dirampas dianggarkan bernilai RM70,000 manakala Toyota Rush pula RM80,000 selain 20 buah telefon bimbit berjumlah RM20,000.

Menurutnya, dua tekong darat dan kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI