KOTA BHARU – Seorang bekas anggota polis maut selepas motosikal yang dipinjamnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terbakar dalam kejadian di depan sebuah premis menjual motosikal di Kok Lanas di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, Rohaizam Haron, 48, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dipinjam daripada seorang lelaki yang baru dikenalinya meninggal dunia di lokasi kejadian pada bahagian kepala selepas tercampak kira-kira 20 meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Wan Azmi Wan Hamat berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan meminjam motosikal berkenaan daripada seorang lelaki ketika berhenti di sebuah gerai menjual bunga api.
Menurutnya, mangsa dipercayai memaklumkan kepada lelaki itu bahawa dia berminat dengan Yamaha RXZ sebelum meminta kebenaran untuk mencuba menunggang motosikal tersebut daripada pemiliknya.
“Allahyarham Rohaizam kemudian meninggalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz miliknya kepada lelaki terbabit sebelum menunggang motosikal itu kira-kira satu kilometer daripada gerai menjual bunga api itu.
“Semasa menunggang motosikal itu, mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah MPV jenis Honda Stream sebelum tercampak kira-kira 20 meter. Motosikal yang dia tunggang pula terbakar dalam kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal tersebut dari arah Kok Lanas menghala ke Ketereh dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV tersebut.- KOSMO! ONLINE













