PENDANG – Kira-kira tujuh individu termasuk kanak-kanak didakwa mengalami kecederaan dipercayai akibat terkena mercun bola dalam kejadian di sini baru-baru ini.
Kejadian tersebut tular di Facebook dan WhatsApp sejak semalam yang memaparkan beberapa mangsa mengalami kecederaan pada muka dan badan selain but sebuah kereta kemik.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada malam raya, namun setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung insiden tersebut.
“Difahamkan kejadian berlaku pada malam raya dan mangsa dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Pendang untuk mendapatkan rawatan. Tiada laporan daripada mana-mana pihak termasuk hospital setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pihaknya pergi ke hospital tersebut hari ini untuk mendapatkan butiran dan laporan maklumat awal akan dibuat bagi tujuan siasatan. – KOSMO! ONLINE














