KUALA NERUS – Tiga keluarga yang duduk berjiran tinggal sehelai sepinggang pada 2 Syawal selepas rumah masing-masing musnah dalam kebakaran di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal di sini semalam.
Kebakaran yang memusnahkan tiga rumah dihuni 11 orang daripada tiga sekeluarga tersebut berlaku pada pukul 4.25 petang.
Difahamkan kebakaran berlaku sewaktu sebahagian penghuni tiga rumah berkenaan keluar beraya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, seramai 16 anggota bomba bersama empat jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kebakaran.
“Api kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 16 minit sebelum dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.25 petang.
“Sebahagian mangsa yang berada di dalam rumah sewaktu kebakaran berjaya keluar menyelamatkan diri ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azmi berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














