PETALING JAYA – Gelombang pulang ke bandar selepas cuti Aidilfitri mula dirasai apabila aliran trafik di lebuh raya utama dilaporkan semakin perlahan sejak pagi tadi.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sebanyak 2.9 juta kenderaan akan memasuki Lembah Klang sehingga lewat malam ini.
“Perkembangan trafik hari ini menunjukkan peningkatan berperingkat sejak pagi dan dijangka berterusan hingga ke malam berikutan orang ramai mula pulang ke bandar untuk kembali bekerja.
“Aliran trafik masuk ke ibu kota ketika ini membabitkan pergerakan dari arah utara, selatan dan pantai timur, khususnya melalui lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
“Semalam aliran lebih tinggi dari arah pantai timur, hari ini kita lihat peningkatan lebih ketara dari arah utara dan selatan,” katanya.
LLM memaklumkan beberapa insiden turut menyumbang kepada kesesakan di laluan tertentu.
“Antaranya kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dari Gopeng menghala ke Tapah (arah selatan) di Kilometer 321.0, selain sebuah lori rosak di laluan Changkat Jering ke Kuala Kangsar di Kilometer 231.7.
“Bagi laluan dari arah selatan menuju ke ibu negara, setakat ini tiada kemalangan dilaporkan, namun trafik kekal tinggi,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 30 lokasi Smart Lane diaktifkan di lebuh raya utama bagi membantu melancarkan aliran trafik sepanjang tempoh puncak ini. – KOSMO! ONLINE














