SUKAN silat kini berada di landasan terbaik untuk disenaraikan semula secara rasmi menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) berusaha membida sukan warisan berkenaan sekali gus membuka laluan cerah buat Malaysia menambah kilauan emas.
Sebelum ini, sukan silat dipertandingkan secara rasmi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, namun tidak diteruskan pada edisi berikutnya ketika China menjadi tuan rumah.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin mendedahkan, ketika ini sukan silat berjaya memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA), malah syarat utama membabitkan pengiktirafan daripada Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) telah pun diselesaikan.
Katanya nasib sukan bela diri itu dijangka diketahui selewat-lewatnya April ini selepas usaha melobi pihak kerajaan Jepun selaku tuan rumah sedang giat dijalankan.
“Persilat telah menghantar permohonan pada hujung tahun lalu dan kita telah melepasi tapisan WADA. Kini, tuan rumah (Jepun) mempunyai kuasa untuk menentukan sukan yang akan dimasukkan. Saya dimaklumkan keputusan ini akan diketahui selewat-lewatnya April ini.
“Setakat ini, persediaan dari segi penyertaan amat meyakinkan dengan lebih 20 negara dari lima zon Asia sudah bersedia menghantar kontinjen. Malah, negara-negara Asia Tengah seperti Uzbekistan dan Kazakhstan, serta Jepun dan Korea Selatan sendiri sudah mempunyai pasukan silat yang mantap,” katanya.
Katanya, penampilan sukan silat sebagai sukan demonstrasi pada Sukan Olimpik Paris baru-baru ini turut memberi kelebihan serta membuka mata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur dari Jepun.
Dalam perkembangan lain, Pesaka telah selesai membentuk skuad kebangsaan baharu selepas sesi pemilihan semula diadakan bulan lalu dan bakal diuji sepenuhnya pada Kejohanan Silat Terbuka Belgium yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 27 Mac ini di Schoten.














