PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Padang Kawat, Istana Besar Johor, hari ini.
Turut berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dengan diringi Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor serta paduka anakanda.
“Berangkat sama, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
“Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah turut berangkat sama,” menurut hantaran berkenaan.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor menerima kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan beramah mesra bersama Keluarga Diraja Johor dalam suasana penuh mesra serta harmoni. – KOSMO! ONLINE














