JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di India terkejut apabila menemui kawanan ular sawa gergasi membelit antara satu sama lain yang disangka sebagai akar, lapor portal berita Lambe Turah.
Penemuan mengejutkan itu dibuat berhampiran kuil Kalothare Wali Mata, negeri Himachal Pradesh baru-baru ini.
Rakaman video dikongsi di platform X oleh akaun @ndtv menunjukkan kawanan reptilia yang disangka akar itu tiba-tiba bergerak selepas dibaling batu oleh seorang penduduk.
Penduduk tempatan berkata, kawanan itu terdiri antara lima hingga enam ekor ular sawa gergasi.
Rakaman itu mencatatkan lebih 70,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Saya takut menonton video ini,” kata seorang netizen.
“Ini sangat mengerikan,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














