PETALING JAYA – Keadaan sampah sarap terdiri daripada plastik, bekas makanan dan minuman berdekatan Jambatan Angkat Kuala Terengganu dipercayai ditinggalkan segelintir pengunjung selepas berbuka puasa, mengundang kecaman orang ramai.
Menerusi hantaran dikongsikan pengguna Facebook Amirul Faiz, dia memuat naik gambar serta video keadaan sampah sarap di kawasan berkenaan pada 8 Mac lalu iaitu kira-kira dua minggu lebih umat Islam berpuasa.
“Tak payah puasa kalau mentaliti begini. Siang hari puasa, masing-masing sabar tahan lapar dahaga. Mula-mula nampak molek (baik), duduk diam, cakap lembut konon jaga puasa. Tapi bila tiba waktu berbuka, habis hilang sabar.
“Makan boleh, tapi sampah tinggal merata-rata. Bekas air, plastik, pinggan pakai buang, semua tinggal atas tanah. Nak bawa balik rumah payah sangat ke? Nak jalan sikit letak dalam tong sampah pun malas.
“Kadang-kadang orang lalu tengok pun naik malu. Tempat orang ramai jadi kotor, bersepah, busuk. Lepas tu esok datang pula tempat sama buat perangai serupa. Macam tak ada akal,” katanya.
Amirul Faiz berkata, sikap sedemikian juga seolah-olah tidak menggambarkan gelaran Terengganu Darul Iman.
“Ganu ni orang bangga sebut Terengganu Darul Iman. Negeri iman kata, tapi mana iman tu kalau perangai begini? Iman tu bukan setakat tulis atas papan tanda tepi jalan. Iman tu nampak pada perangai. Jaga kebersihan, hormat tempat orang, reti fikir orang lain yang guna tempat tu lepas kita.
“Kalau makan ramai-ramai, reti-reti lah jaga tempat. Puasa ni sepatutnya ajar sabar, ajar disiplin, ajar malu sikit. Bukan siang hari tahan lapar, malam hari buat perangai tak senonoh,” katanya.
Difahamkan, sampah sarap berkenaan telah pun dibersihkan memandangkan kejadian itu berlaku minggu lalu.
Hantaran tersebut turut dipersetujui oleh pengguna Facebook yang lain apabila mereka mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan.
“Tak faham, apa yang susah sangat nak buang sampah tu dalam tong sampah,” komen Nur Farah.
“Allahuakbar, malu lah perangai macam ni. Lepas tu update (kemas kini) media sosial, berbuka puasa tempat tersohor,” komen Asna Shakira.
“Kalau tak ada tong sampah pun, bawa masuk kereta dan buang di tempat sepatutnya. Amalkan benda ni, kat Jepun sampah masuk dalam poket seluar,” komen Faizal Mulim. – KOSMO! ONLINE














