MUNICH – Penggempur Bayern Munich, Harry Kane meledak dua gol ketika membantu pasukannya membenam Atalanta 4-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan agregat 10-2 awal pagi semalam.
Dua gol tersebut menyaksikan Kane muncul pemain berbangsa Inggeris pertama meraih 50 gol pada saingan berkenaan ketika hanya membuat 66 penampilan sekali gus menjadi pemain ketiga terpantas melakukannya.
Kane memnbuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-25 sebelum menambah jaringan kira-kira sembilan minit selepas babak kedua bermula untuk mengumpul 10 gol dalam saingan UCL musim ini.
Dua lagi jaringan Bayern dihasilkan oleh pemain muda, Lennart Karl dan Luis Diaz, manakala Atalanta memperoleh gol sagu hati menerusi Lazar Samardzic.
Kemenangan itu menyaksikan Bayern bakal berdepan satu lagi gergasi Eropah, Real Madrid untuk aksi suku akhir, namun Kane mengakui mereka tidak gentar dan bersedia untuk memburu tempat ke separuh akhir.
“Kami tidak gentar berdepan mana-mana pasukan sekali pun. Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi kami meraih keyakinan menerusi perlawanan ini dan sepanjang musim yang kami lalui dan hanya meneruskan apa yang telah kami lakukan,” kata Kane. – AGENSI














