PETALING JAYA – Aliran trafik dilaporkan lancar di kebanyakan lebuh raya utama susulan anak perantau sudah sampai di kampung halaman masing-masing bagi meraikan Aidilfitri.
Di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, kelihatan ada pertambahan kenderaan di Plaza Tol Gombak menuju ke Genting Sempah setakat pukul 3.51 petang tadi.
Bagaimanapun, kenderaan kelihatan meluncur laju sehingga ke Lentang dan Plaza Tol Bentong.
Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, trafik juga kelihatan lancar di kebanyakan lokasi khususnya di kawasan ‘hot spot’ seperti Tapah, Sungkai dan Terowomg Menora.
Selain itu, di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, trafik dilaporkan lancar meski terdapat pertambahan kenderaan di beberapa lokasi seperti di Nilai dan Seremban.
Cuaca juga dilaporkan dalam keadaan cerah dan baik serta tiada kemalangan dilaporkan setakat ini.
Umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada esok bersamaan 1 Syawal selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkannya semalam. – KOSMO! ONLINE














