fbpx
AZLAN akan terus menjadi sandaran skuad negara untuk memburu pingat emas di Sukan Asia selepas 36 tahun kempunan.

Skuad takraw idam akhiri sumpahan 36 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEREJAM berbisa negara, Azlan Alias kini memikul misi besar pada musim 2026 kerana bukan sekadar mahu memasang azam untuk mencipta kemenangan, tetapi mahu menamatkan ‘sumpahan’ kemarau pingat emas selama 36 tahun skuad sepak takraw negara di pentas Sukan Asia.

Tampil dengan reputasi antara perejam terbaik dunia, Azlan sedar tugasnya tahun ini cukup berat untuk memastikan lagu Negaraku terus berkumandang di pentas Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun yang dijadualkan berlangsung 19 September hingga 4 Oktober depan.

Kali terakhir Malaysia mengecapi kejayaan di temasya empat tahun sekali itu pada edisi 1990 di Beijing, China.

Azlan berkata, kejayaan merangkul dua emas di Sukan SEA Thailand hujung tahun lalu hanyalah titik permulaan untuk skuad negara terus meningkatkan prestasi bagi memastikan kilauan pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu mampu dibawa pulang ke tanah air.

“Kalau ikutkan Sukan Asia ini, memang kami sasar acara berpasukan dan regu. Sama macam Sukan SEA, cuma sekarang latihan kena lebih mantap, kena kerja keras dua kali ganda.

“Paling utama, kami tak boleh leka dengan kemenangan lalu. Mempertahankan kejuaraan itu jauh lebih sukar kerana semua pasukan sekarang mahu tumbangkan Malaysia.

“Apapun, misi untuk menamatkan kemarau emas ini bukan impian saya seorang, tapi impian seluruh rakyat Malaysia. Kalau boleh, kami mahu berdepan Thailand di final. Menang dengan Thailand itu barulah puas hati, barulah rasa nikmat sebenar seperti peminat mahukan,” katanya.

Namun, sebelum terbang ke Jepun, Azlan mahu memastikan trofi Piala Dunia Sepak Takraw yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 12 hingga 24 Mei ini kekal di bumi Malaysia terlebih dahulu.

Baginya, Piala Dunia adalah medan terbaik untuk memberi amaran awal kepada pencabar lain sebelum misi memburu emas Sukan Asia bermula.

“Fokus kami Piala Dunia dulu. Jika kami dapat pamer aksi terbaik di sana, Insya-Allah momentum itu akan dibawa ke Sukan Asia untuk jadikan pasukan kita lebih digeruni,” tegasnya.

Dalam masa sama, Azlan menitipkan amaran keras agar rakan sepasukan tidak terbuai dengan khabar angin kononnya Thailand sedang bergelut dengan rombakan pemain.

“Jangan anggap kita sudah atasi Thailand sepenuhnya. Mereka ada ‘ubi’ muda yang ramai. Kalau mereka main 100 peratus, kita wajib bagi 200 peratus untuk ‘ajar’ mereka. Fokus sekarang adalah diri kita, bukan fikir pasal lawan,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN