KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) membuat langkah berani apabila melantik jurulatih dari Afrika Selatan, Brendon Carolan sebagai ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki kebangsaan, berkuat kuasa 1 April ini.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan pelantikan itu hadir pada waktu kritikal dengan fokus utama untuk memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun.
“Kita perlukan perubahan segera, khususnya dari aspek taktikal kerana Sukan Asia hanya tinggal kira-kira enam bulan sahaja lagi,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil semalam.
Menurut beliau, keputusan tidak menyambung kontrak Sarjit Singh dibuat selepas penilaian menyeluruh meskipun jurulatih tempatan itu berjaya membawa Malaysia ke Piala Dunia Hoki 2026.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Sarjit atas segala usaha beliau sepanjang dua tahun bersama pasukan sehingga berjaya membawa Malaysia ke Piala Dunia,” jelasnya.
Tambah Subahan, Carolan dipilih bukan sahaja kerana pengalaman antarabangsa, tetapi kelebihan mengenali struktur serta pemain skuad kebangsaan.
“Beliau pernah bersama pasukan sebelum ini sebagai staf sokongan dan juga mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa termasuk bersama Ireland,” ujarnya.
Malah, faktor keserasian dengan pemain turut menjadi pertimbangan penting dalam pemilihan jurulatih berkenaan.
“Lebih penting, pemain sendiri menyatakan keselesaan untuk bekerja dengan beliau dalam tempoh singkat ini,” katanya.
Carolan yang kini berperanan sebagai konsultan di Gantoise Hockey Club di Belgium akan mengikat kontrak selama setahun sehingga April 2027 dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertumpu kepada kejayaan di Sukan Asia.














