fbpx
HAKIM DANISH perlu mempersiapkan mental dan fizikal menjelang aksi pusingan kedua di GP Brazil awal pagi Isnin ini.

Misi pulihkan keyakinan Hakim Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGURUS pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, mengakui fokus utama pasukannya ketika ini adalah memulihkan semula tahap keyakinan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli selepas mengharungi permulaan musim yang mencabar di Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3.

Zulfahmi menjelaskan bahawa keputusan di pusingan pembukaan Grand Prix (GP) Thailand baru-baru ini, di mana Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tempat ke-18, memberikan gambaran jelas tentang cabaran mental yang perlu dihadapi oleh seorang pelumba rookie.

“Apabila kita menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 (P18), ia mengambil masa yang lama untuk memulihkan semula keyakinan.

“Kita mahu dia bersaing bersama di kelompok depan, berjuang untuk podium dan sentiasa terpapar di kaca televisyen,” katanya ketika ditemui sebelum ini.

Menurut Zulfahmi, proses pemulihan keyakinan ini amat penting memandangkan Hakim Danish turut melalui fasa sukar semasa sesi ujian pramusim di Jerez, Sepanyol yang menyaksikan pelumba itu terlibat dalam kemalangan selain faktor cuaca yang tidak menentu.

“Hakim Danish sudah memperoleh sedikit keyakinan di Thailand, tetapi kedudukannya masih belum memuaskan.

“Saya sendiri akan sentiasa berada bersamanya, terutamanya bagi semua perlumbaan di Eropah untuk membantunya di belakang tabir supaya kami dapat membina keyakinan itu bersama-sama semula,” tambah Zulfahmi lagi.

Walaupun fokus utama adalah aspek mental, Zulfahmi tetap meletakkan sasaran tinggi buat Danish iaitu meraih sekurang-kurangnya satu podium daripada 22 pusingan perlumbaan sepanjang musim 2024.

Tambah Zulfahmi, perlumbaan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi lokasi harapan utama untuk melihat Hakim Danish menaiki podium memandangkan litar tersebut merupakan trek latihan rasmi pasukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN