PETALING JAYA – Seorang pengguna di media sosial berseloroh bahawa daerah Alor Setar seolah-olah berada di kedudukan nombor dua daripada matahari susulan cuaca panas dilaporkan melanda kawasan utara tersebut sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut bermula hari ini.
Menerusi hantaran pengguna oleh @Zarepan di media sosial, dia memaklumkan kepada orang ramai yang baru sahaja tiba di Alor Setar bahawa bandar raya itu kini merupakan planet kedua selepas Utarid.
“Untuk pengetahuan mereka yang baru sahaja tiba di Alor Setar, kedudukan Alor Setar adalah nombor dua daripada matahari selepas planet Utarid. Alor Setar adalah Zuhrah (planet),” selorohnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata penduduk di utara berkongsi pengalaman berdepan dengan rasa bahang yang disifatkan seperti duduk di dalam ketuhar.
Sementara itu, seorang pengguna menganggap negeri jiran iaitu Perlis sebenarnya jauh lebih panas sehingga layak digelar sebagai ‘bintang’ atau matahari itu sendiri.
“Hangat lit-lit (sangat panas), pakat pecah peluhlah raya ini. Air lebih laku daripada ketupat esok,” kata pengguna Azlinawati_abdrahim.
“Letak sajalah lemang tepi jalan, petang nanti boleh makan terus,” seloroh pengguna yang lain.
“Yang mana esok pakai baju raya jenis kain tebal, jenuh peluh nanti,” kata lagi pengguna Anyssnabilah.
Cuaca panas ini sememangnya menjadi perbualan hangat dalam kalangan warga kota menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus menuntut orang ramai supaya lebih berjaga-jaga dan menjaga tahap hidrasi badan ketika ini. – KOSMO! ONLINE














