MANCHESTER – Manchester City sekali lagi berdepan satu lagi musim yang berliku selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Real Madrid awal pagi semalam.
Kekalahan dengan agregat 1-5 itu bukan sahaja menamatkan impian memburu gelaran di pentas Eropah mereka, malah ia menyaksikan City disingkirkan oleh gergasi Sepanyol itu untuk musim ketiga berturut-turut.
Situasi tersebut meletakkan tekanan besar ke atas pengendali, Pep Guardiola ketika pasukannya kini berdepan tempoh kritikal yang bakal menentukan hala tuju musim ini.
Menurut Guardiola, kekurangan pemain dan situasi sukar dalam perlawanan menentang Real memberi kesan besar kepada keputusan akhir.
“Memang sukar apabila ketinggalan 4-0 dan bermain 10 lawan 11. Tetapi, kami sudah melakukan segala yang termampu,” katanya.
City kini perlu segera bangkit apabila bakal berdepan Arsenal pada final Piala EFL di Wembley, yang boleh menjadi peluang terbaik mereka meraih trofi musim ini.
Guardiola mengakui lawan mereka itu merupakan antara pasukan terbaik ketika ini, sekali gus menjadikan cabaran tersebut lebih mencabar.
“Kami berdepan pasukan terbaik di England ketika ini, malah mungkin terbaik di Eropah berdasarkan prestasi mereka. Kami perlu lihat bagaimana kami bersaing dengan mereka,” ujarnya.
Meskipun berdepan tekanan dan spekulasi mengenai masa depannya, Guardiola menegaskan dia masih komited bersama City dan melihat perjalanan ini sebagai satu proses jangka panjang. – AGENSI














