APAH – Dua insan yang diuji dengan penyakit kronik reda dengan ketentuan Tuhan selain hanya mampu tersenyum menggambarkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tidak semeriah dahulu.
Menurut Khamaliah Ramli, 47, yang sebelum ini merupakan seorang pekerja hotel bajet di Sungkai tidak menyangka keadaan fizikal yang lemah dan sering penat sebenarnya membawa tanda kepada penyakit kanser payudara tahap empat.
“Saya reda dengan ketentuan ini dan sekadar menyambut Hari Raya Aidilfitri sekadar adanya selain berharap diizinkan Tuhan untuk menatap dunia ini lebih lama,” katanya ketika ditemui pemberita semasa kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng yang mengedarkan bantuan kotak makanan dan bubur lambuk di sekitar Kampung Kinjang di Tapah petang semalam.
Bagi Shamsudin Ahmad, 61, yang diserang strok sejak lebih dua tahun lalu hanya mengharapkan bantuan isteri dan seorang anaknya yang terpaksa berhenti kerja di Singapura untuk menguruskan kehidupan sehariannya.
“Angkat tangan pun tidak larat dan makan serta minum pun isteri dan anak suapkan selain segala urusan diri ini memang orang lain yang bantu. Sebelum diserang strok, saya cergas dengan menjual buah-buahan tempatan untuk menampung kehidupan tetapi itulah ini ujian kepada saya bagi mengingati Tuhan dengan lebih kerap,” katanya.
Dalam pada itu, Shin Heng berkata, kedua-dua pesakit itu bakal menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Baitumal Perak selain keperluan kritikal yang perlu seperti kerusi roda. – KOSMO! ONLINE














