PETALING JAYA – Seorang perantau dari Terengganu mengundang perhatian ramai apabila berkongsi pengalaman perjalanan pulang ke Kuala Lumpur yang lancar.
Dalam masa sama lelaki tersebut turut mengakui berasa ‘bersalah’ selepas melihat keadaan trafik sesak di laluan bertentangan.
Menerusi perkongsian di Thread @MdJaszUder, individu berkenaan memaklumkan dia bertolak dari Terengganu pada pukul 11 pagi dan tiba di Kuala Lumpur sekitar pukul 2.20 petang.
Apa yang mencuri perhatian ialah perjalanan di laluannya dilihat agak tenang dan bergerak lancar, sedangkan laluan sebelah yang menuju ke arah bertentangan dipenuhi deretan kenderaan yang bergerak perlahan.
Beberapa gambar yang dikongsikan memaparkan kenderaan di satu arah bergerak seperti biasa, manakala laluan bersebelahan pula mengalami kesesakan panjang sehingga mencetuskan rasa simpati.
“Kerja: Terengganu, kampung: Kuala Lumpur. Tolak 11 pagi, sampai 2.20 petang. Rasa bersalah pula bila tengok jalan sebelah,” katanya ringkas.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut berseloroh mengenai situasi tersebut, selain ada yang turut berkongsi pengalaman yang sama apabila menjadi perantau di negeri lain selain Kuala Lumpur.
“Samalah saya, rumah: Temerloh. Kampung: Bangsar. Pagi raya karang baru balik sana,” komen @Callyun_.
“Sama dengan kita orang Kampung Selangor duduk Kemaman,” komen @IkramHaris.
“Kerja Terengganu, kampung Pahang. Tak apa bang, saya bersama abang,” komen @DanielHaqimOmar. – KOSMO! ONLINE














