PETALING JAYA – Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi pengurusan risiko banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka berlarutan sehingga Mac ini, bertepatan dengan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, agensi di bawahnya termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dengan pelaksanaan perancangan awal serta penyelarasan sumber bagi memastikan pengurusan banjir dilaksanakan secara berkesan.
Beliau berkata, sehingga 17 Mac 2026, sebanyak 745 kejadian banjir telah direkodkan di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pada tahap optimum dalam menghadapi MTL, pemantauan operasi ramalan dan amaran banjir dilaksanakan 24 jam sehari menerusi model ramalan di 36 lembangan sungai yang dikendalikan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN).
“Sebanyak 1,798 stesen hidrologi telemetri digunakan bagi merekodkan data hujan dan aras air sungai, dengan 64 hebahan ramalan awal banjir serta 39 amaran telah dikeluarkan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sebanyak 614 siren amaran banjir dipasang di lokasi strategik di seluruh negara, selain 197 kamera pemantauan bagi membantu pemantauan situasi semasa.
“Sehingga 16 Mac, sebanyak 675 pengaktifan siren amaran banjir telah direkodkan sebagai langkah penyampaian amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko.
“Selain itu, 3,682 lokasi hotspot banjir telah dikenal pasti di seluruh negara sebagai rujukan kepada orang awam berkaitan kawasan yang kerap dilanda banjir,” katanya.
Beliau berkata, lokasi-lokasi ini dikenal pasti berdasarkan rekod kejadian banjir sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.
“Antara negeri yang mencatatkan jumlah hotspot tertinggi ialah Pahang dengan 760 lokasi, diikuti oleh Kelantan sebanyak 618 lokasi, dan Sabah sebanyak 517 lokasi.
“Selain itu, sebanyak 606 pam mudah alih, 1,079 pintu kawalan air dan 285 rumah pam berada dalam keadaan baik serta bersedia digunakan pada bila-bila masa,” katanya.
Katanya, pemantauan turut dijalankan ke atas 16 empangan kendalian JPS, 761 kolam takungan banjir serta kerja penyelenggaraan berkala di lembangan sungai berisiko tinggi.
Dalam pada itu katanya, Petra turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi bagi menyalurkan amaran banjir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Selain itu, penyelarasan bersama kerajaan negeri turut dilakukan bagi menetapkan prosedur operasi standard pelepasan air empangan sebagai langkah meningkatkan kapasiti takungan sepanjang MTL.
“Orang awam disaran untuk sentiasa mengikuti maklumat berkaitan ramalan dan amaran banjir yang dikeluarkan secara rasmi oleh JPS melalui laman web Public Infobanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store,” katanya. – KOSMO! ONLINE














