KOTA TINGGI – Dua individu yang maut dalam nahas dua kereta membabitkan Nissan Sentra dan Proton Saga di Kilometer 77.3 Jalan Johor Bahru – Mersing pagi tadi merupakan pasangan kekasih.
Mangsa dikenali sebagai N Sree, 26 dan P Priyanka, 25 yang maut di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam Nissan Sentra sementara sebuah lagi kenderaan dinaiki empat beradik mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Nissan Sentra masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga tersebut.
“Kita menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 9.45 pagi. Nissan Sentra dinaiki pasangan kekasih. Proton Saga pula dipandu seorang wanita tempatan berusia 23 tahun bersama tiga lelaki berusia dari 16 hingga 21 tahun.
“Nissan Sentra itu bergerak dari arah Mersing ke Johor Bahru, manakala Proton Saga dalam perjalanan dari Pasir Gudang menuju ke Kuantan, Pahang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Yusof berkata, pemandu dan penumpang Nissan Sentra parah di bahagian kepala serra badan dan meninggal dunia di tempat kejadian dengan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini.
“Mangsa dalam Proton Saga yang mengalami cedera dirujuk ke HKT bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE














