ISLAMABAD – Pakistan mengumumkan gencatan senjata lima hari dalam pertempuran dengan negara jirannya, Afghanistan, ketika acara pengebumian besar-besaran diadakan untuk ratusan mangsa terkorban akibat serangan ke atas pusat pemulihan dadah di Kabul Isnin lalu, lapor akhbar The Guardian.
Pemerintahan Taliban di Afghanistan melaporkan lebih 400 orang terbunuh, manakala 265 lagi cedera dalam serangan yang dilancarkan ketika orang ramai sedang menunaikan solat di pusat berkenaan.
Pakistan menafikan tuduhan bahawa pihaknya sengaja menyerang pusat pemulihan dadah itu, sebaliknya ia menyasarkan kemudahan ketenteraan dan infrastruktur sokongan pengganas.
Islamabad menuduh Kabul melindungi kumpulan pengganas yang melakukan serangan rentas sempadan di wilayahnya.
Menteri Penerangan dan Penyiaran Pakistan, Attaullah Tarar berkata, Islamabad akan menghentikan sementara operasi ketenteraannya terhadap Afghanistan bermula tengah malam semalam hingga tengah malam Isnin depan.
“Penggantungan itu menandakan berakhirnya bulan Ramadan. Ia dilakukan atas permintaan negara-negara Islam iaitu Arab Saudi, Qatar dan Turkiye,” kata Attaullah.
Beliau menegaskan bahawa jika berlaku sebarang serangan rentas sempadan, serangan dron atau insiden pengganas di dalam Pakistan, operasi ketenteraannya terhadap Afghanistan akan disambung semula dengan intensiti yang diperbaharui.
“Kerajaan Taliban mengumumkan penggantungan sementara operasi ketenteraannya terhadap Pakistan semalam,” kata jurucakap Afghanistan, Zabihullah Mujahid. – AGENSI














