MELAKA – Lelaki yang tular kerana membelasah serta melanggar kepala isterinya dengan motosikal di Kota Shahbandar di sini, baru-baru ini, berjaya diberkas pagi tadi.
Suspek berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Dia akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh bagi permohonan reman esok,” katanya kepada pemberita hari ini.
Isnin lalu, tular klip video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi lebih satu minit memaparkan suspek memukul dan menampar mangsa yang sedang hamil anak kedua mereka.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan sebelum dibawa ambulans ke Zon Merah Hospital Melaka pada pukul 4.41 pagi.
Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah oleh ibunya di Tanjung Minyak Perdana sebelum membuat laporan polis.- KOSMO! ONLINE














