fbpx
Mohd. Khalid Ismail pada sidang akhbar di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID

Layanan berbeza Zamri Vinoth: Tindakan berdasarkan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menegaskan, tangkapan ke atas Zamri Vinoth adalah berdasarkan undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan layanan berbeza diterima individu tersebut seperti didakwa oleh peguamnya.

“Kesalahan-kesalahan yang kita tangkap sebelum ini berbeza-beza. Ada boleh jamin, ada tak boleh jamin dan sebagainya. Jadi dalam peringkat awal masa kita buat tangkapan empat kes saya maklumkan di Putrajaya hari itu, di bawah seksyen 505. Tapi ada lagi satu kes lain yang berkaitan dengan Akta Hasutan. Jadi itulah tindakan-tindakan ini berdasarkan undang-undang.

“Mungkin pihak awam melihat ini satu perkara yang berbeza. Tetapi kita melaksanakan undang-undang ini mengikut lunas undang-undang itu sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau memberi jaminan bahawa perkara tersebut sesuatu yang lumrah dalam undang-undang negara.

“Jadi kita akan laksanakan pada mengikut keperluan-keperluan undang-undang itu sendiri,” katanya.

Mohd. Khalid berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan peguam kepada Zamri Vinoth yang mempersoalkan layanan berbeza diterima anak guamnya berbanding seorang lagi individu, Arun Dorasamy yang turut didakwa di bawah peruntukan undang-undang sama.

Muhammad Hariz Md. Yusoff dipetik berkata, Zamri Vinoth atau Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari serta dikawal ketat oleh polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Keadaan itu berbeza dengan Arun Dorasamy yang hadir ke Kompleks Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang tanpa digari dan tidak dikawal pihak polis.

Ditanya seorang lagi individu Tamim Dahri, Mohd. Khalid berkata, seperti dimaklumkan sebelum ini, rekod menunjukkan lelaki tersebut keluar ke Thailand dan ada juga beberapa maklumat mengatakan dia berada di Tanah Suci dan sebagainya.

“Tindakan kita didakwa di mahkamah telah dibuat. Bila sampai masanya, kita akan ambil tindakan terhadapnya,” katanya.

Kosmo! melaporkan, pertuduhan terhadap aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Majistret Langkawi pada kelmarin, ditangguhkan pada 17 Mei depan.

Tamim Dahri akan didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung tindakan merosakkan solem suci di Tapak Lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Langkawi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN