TIGA kali ‘kekalahan’ berhubung isu pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya wajar dijadikan pengajaran berguna buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membina dan memulihkan reputasi pada masa akan datang.
Tidak hanya mencalarkan maruah negara, Harimau Malaya kini sudah pun tidak layak ke Piala Asia 2027 selepas dipotong enam mata oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Walaupun agak pahit untuk menerima hakikat, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail beranggapan ia boleh dijadikan ‘ubat’ buat FAM dan pelan masa depan perlu dirangka bermula sekarang.
“Sekarang benda ini (pemotongan mata) benar-benar berlaku dan kita kena terima hakikat tidak layak ke Piala Asia. Apa lagi nak buat? Jalani saja hukuman, bayar denda dan bersiap saja untuk Piala Asia seterusnya.
“Projek seterusnya kena bermula daripada sekarang, kita juga kena lihat pemain naturalisasi mana yang boleh dikekalkan. Kena pelan sehabis baik daripada sekarang dan jangan buat kerja minit akhir,” katanya.
Sebelum ini, FAM sudah pun gagal dalam rayuan di peringkat Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabanga (FIFA), Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan terbaharu dikenakan hukuman oleh AFC.
Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada Nepal dan Vietnam berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika AFC malah FAM juga dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119).
Sementara itu, jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussain percaya FAM juga perlu mula meningkatkan kesedaran terhadap tadbir urus yang telus dan bersikap lebih berwaspada berkaitan integriti
“Penambahbaikan menyeluruh dalam sistem pengurusan pemain juga perlu dilakukan. Dengan sokongan berterusan daripada penyokong, saya percaya Harimau Malaya mampu kembali lebih kompetitif di pentas antarabangsa.
“Dalam jangka masa panjang, episod ini wajar dijadikan pengajaran berharga bagi memperkukuh asas bola sepak negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” jelasnya.














