fbpx
Gambar hiasan

Eksport Eksport ke Amerika Selatan melonjak 13.7 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Eksport produk getah Malaysia ke pasaran Amerika Selatan pada tahun ini bermula dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatat peningkatan 13.7 peratus kepada RM57.2 juta pada Januari lalu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan strategi memperluas pasaran bukan tradisional sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal global produk getah berkualiti tinggi.

Beliau berkata, pertumbuhan tersebut bukan sahaja meningkatkan hasil eksport negara, malah memberi manfaat kepada ratusan ribu pekebun kecil serta pemain industri tempatan.

“Brazil kekal sebagai destinasi eksport utama dengan sumbangan sebanyak 43.8 peratus daripada keseluruhan eksport ke rantau tersebut.

“Keputusan Brazil untuk menggantung tindakan anti-lambakan pada Disember 2025 telah membuka semula ruang pasaran dan memberi kelebihan kompetitif kepada pengeksport Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noraini berkata, pemain industri tempatan segera memanfaatkan peluang tersebut dengan meningkatkan eksport produk bernilai tinggi seperti benang lateks dan kondom.

“Sementara itu, Argentina mencatatkan lonjakan paling ketara apabila meningkat 140.6 peratus kepada RM14.3 juta, didorong permintaan tinggi terhadap sarung tangan getah dan benang lateks.

“Colombia pula terus menunjukkan momentum positif dengan peningkatan sebanyak 31.8 peratus, dipacu oleh permintaan yang semakin meningkat bagi
produk perubatan serta kelengkapan pelindung diri (PPE),” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil sokongan berterusan serta pelaksanaan inisiatif proaktif oleh Majlis Getah Malaysia bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk melalui strategi pemasaran bersasar, pengukuhan jaringan antarabangsa, serta sesi libat urus yang konsisten.

“Walaupun ekonomi global dijangka terus berdepan cabaran termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan pasaran dan tekanan kos tenaga,
Kementerian kekal komited untuk memastikan industri getah negara terus berdaya tahan dan kompetitif.

“Amerika Selatan kini muncul sebagai antara pasaran berpotensi tinggi dan akan terus diberi keutamaan dalam strategi pengembangan eksport negara.

“Langkah Brazil menggantung tindakan anti-lambakan terhadap produk Malaysia dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan yang lebih
mampan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Katanya, perkara itu membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar pengeluar, tetapi peneraju global dalam industri getah.

“Kita tidak hanya mempertahankan pasaran sedia ada, malah sedang mengembangkan pengaruh ke pasaran baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI