fbpx
Dashratmen (dua dari kiri) dan Velson Paul (dua dari kanan) diiringi anggota polis untuk proses pendakwaan kes bunuh di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

Dua lelaki dituduh bunuh rakan berdepan tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Dua lelaki berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka pada 10 Mac lalu.

Tertuduh, S. Dashratmen, 18, dan P. Velson Paul, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama membunuh Kavin Raj, 27, di sebuah rumah di Taman Kempas Fasa 2, di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi pada 10 Mac lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Majistret Mohamad Syaiful kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 Jun depan bagi mendapatkan laporan forensik, kimia dan keputusan bedah siasat mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, R. S. N. Rayer.

Terdahulu, Rayer memohon pertimbangan mahkamah untuk membenarkan kedua-dua anak guamnya mendapatkan pemeriksaan kesihatan berikutan mengalami kecederaan di bahagian tapak kaki yang didakwa akibat dipukul semasa soal siasat.

Rayer turut memohon mahkamah membenarkan anak guamnya membuat laporan polis berkaitan kejadian pukul yang didakwa dialami mereka semasa dalam tahanan polis.

Majistret Mohamad Syaiful kemudian menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh boleh mendapatkan rawatan di penjara tempat mereka ditahan reman.

Kosmo! pada 10 Mac lalu melaporkan seorang lelaki berusia lewat 20-an maut akibat ditetak berulang kali di hadapan rumahnya di Taman Kempas.

Kejadian itu turut mengakibatkan adik perempuan mangsa cedera parah dengan tangan hampir putus.

Bapa saudara mangsa kemudian mendakwa kejadian dipercayai berpunca daripada dendam lama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI