LIPIS – Perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri tahun ini sekali lagi menguji kesabaran perantau dari Lembah Klang apabila ada yang terpaksa menghabiskan masa hampir 10 jam di dalam kenderaan sebelum tiba di Kuala Lipis.
Seorang perantau, Muhd Akmal Mohd Yazit, 35, berkata, dia bertolak seawal pukul 3 pagi dari Puncak Alam, Selangor dengan harapan dapat mengelak kesesakan, namun hanya tiba di Lipis kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Trafik mula perlahan di Plaza Tol Gombak. Selama 10 jam dalam kereta baru sampai Lipis, belum lagi masuk Gua Musang. Tempoh perjalanan keseluruhan dijangka mencecah lebih 14 jam sebelum tiba di Kota Bharu, Kelantan.” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kechau di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi perantau, Azlina Talib, 34, berkata, dia bersama suami dan dua anaknya turut berdepan pengalaman hampir sama untuk pulang ke kampung di Pasir Mas, Kelantan.
Menurutnya, mereka sekeluarga bergerak menaiki kapal terbang dari Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menginap di Bangi.
“Kami sekeluarga memulakan perjalanan pukul 1 pagi tadi bersama tiga lagi ahli keluarga namun perlu menempuh kesesakan luar biasa menyebabkan perjalanan menjadi terlalu panjang walaupun sudah merancang untuk bergerak awal. – KOSMO! ONLINE














