PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak dari arah Gombak menuju Genting Sempah dilaporkan bergerak perlahan susulan orang ramai pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup Lembaga Lebuh Raya Malaysia, trafik kelihatan lancar di Plaza Tol Gombak namun mula bergerak perlahan memasuki kawasan Genting Sempah.
Trafik juga dilaporkan perlahan memasuki Bentong dan pengguna dijangka mengalami kelewatan sehingga 40 minit untuk sampai ke destinasi masing-masing.
Sementara itu di Lingkaran Tengah Utama, trafik dilaporkan sesak teruk sepanjang 17 kilometer dari Kampung Merhamah ke Gua Musang ekoran kemalangan berlaku berdekatan Lepan Jaya.
Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pula, trafik dilaporkan lancar meskipun hujan lebat di beberapa kawasan seperti di Tapah dan Bidor.
Situasi yang sama turut dilihat di Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan, apabila aliran trafik dilaporkan lancar di beberapa kawasan meskipun adanya pertambahan kenderaan di beberapa kawasan seperti Nilai Utara, Seremban dan Tangkak. – KOSMO! ONLINE














