PETALING JAYA – Bersempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, Suria FM dengan kerjasama Toyota melancarkan lagu dan muzik video (MV) Raya terbaharu berjudul Gurindam Aidilfitri yang dinyanyikan barisan penyampai stesen radio terbabit iaitu Fad, Ajak, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad dan DJ Lin.
Dilancarkan secara rasmi pada 9 Mac 2026, Gurindam Aidilfitri menampilkan muzik yang ceria dengan sentuhan moden dan tradisional, sekali gus mengangkat suasana raya yang penuh nostalgia serta nilai kekeluargaan.
Lagu tersebut diterbitkan oleh Lsandbeats Legacy, dengan komposisi oleh Luca Sickta dan Nazif Analog, manakala liriknya ditulis oleh Luca Sickta, Nazif Analog dan B-Heart.
Memaparkan momen klasik Aidilfitri seperti memohon kemaafan, kunjung-mengunjung, berkongsi juadah raya, dan merakam kenangan bersama keluarga serta sahabat, sekali gus menekankan semangat kebersamaan, memaafkan kesilapan lalu dan mengeratkan silaturahim.
Bagi memeriahkan lagi pelancaran lagu ini, Suria FM turut memperkenalkan Gurindam Aidilfitri Dance Challenge, di mana peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM3,000.
Peserta perlu mengikuti langkah tarian rasmi seperti yang dipaparkan dalam muzik video tersebut. Orang ramai juga digalakkan untuk menyertai cabaran ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan kerana konsepnya mudah — Lagi ramai, lagi meriah.
Juara akan membawa pulang hadiah berjumlah RM1,500, tempat kedua (RM1,000) dan tempat ketiga (RM500).
Orang ramai boleh menonton muzik video penuh Gurindam Aidilfitri di saluran YouTube rasmi Suria FM, Suria Malaysia, serta mengikuti maklumat lanjut mengenai cabaran ini melalui platform media sosial rasmi Suria FM, Suria Malaysia. – KOSMO! ONLINE














